Sejarah masjid

Usaha untuk mendirikan sebuah masjid di kawasan Bangsar telahpun disuarakan oleh penduduk tempatan pada tahun 1976. Perkara tersebut telah dipersetujui oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dalam mesyuaratnya pada 25hb Julai, 1977. Berikutan dengan itu, satu mesyuarat telah diadakan di Masjid Negara pada 27hb November, 1977 di antara penduduk tempatan dengan YB Dato’ Othman bin Abdullah, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada ketika itu. Hasil dari perjumpaan tersebut sebuah Jawatankuasa Pembinaan Masjid Bangsar telah dilantik bagi mengendalikan pembinaannya.

Jawatankuasa Pembinaan Masjid Bangsar telah melantik Jawatankuasa Kecil untuk merancang dan menguruskan pembinaan bangunan masjid. Mereka terdiri daripada pakar-pakar perunding yang tinggal di kawasan Bangsar. Hasil daripadanya, satu reka bentuk masjid telah dipersetujui oleh pihak yang berkenaan sebagaimana pelan yang telah diluluskan.

Untuk membiayai pembinaan bangunan masjid dan peralatannya maka Jawatankausa telah melancarkan usaha memungut derma secara besar-besaran daripada penduduk Islam di kawasan Bangsar khasnya dan Malaysia amnya. Sebanyak RM700,000 telah dapat dikumpul dan wang tersebut telah diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Memandangkan jumlah derma jauh daripada mencukupi, projek ini telah diserahkan kepada JAWI yang telah menaiktarafkan projek ini dan memasukkannya sebagai salah satu projeknya dalam Rancangan Malaysia Ketiga. Pembinaan Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq Bangsar diluluskan Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn pada 25 Julai 1977.

Pada 18hb Julai 1980, pihak kontraktor telah menerima penyerahan tapak. Majlis penentuan arah Kiblat telah dilakukan pada 24hb Ogos, 1980 dan disahkan oleh S.S. Dato’Sheikh Abdul Mohsein bin Hj Salleh, Mufti Wilayah Persekutuan.

Pada 23hb November, 1980, upacara perletakan batu asas masjid telah disempurnakan oleh YB Dato’ Amar Hj Abdul Taib bin Mahmud, Menteri Wilayah Persekutuan pada ketika itu. Bangunan masjid ini telah disiapkan pembinaannya pada bulan Mac, 1982 dan diterima dengan rasminya daripada pihak kontraktor oleh Y.Bhg Pemangku Dato’ Bandar Kuala Lumpur yang juga Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan pada 29hb Mac, 1982.


Pembiayaan keseluruhan membina Masjid ini ialah sebanyak RM3,339,534.60. RM700,000.00 daripadanya dalah hasil kutipan orang dan selebihnya adalah dari Kerajaaan Malaysia. Keluasan tapak masjid ini ialah 2 ekar.

Solat Jumaat pertama dilaksanakan pada 9 April 1982 dan diimamkan Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ketika itu, Allahyarham Tan Sri Sheikh Mohsein.

Upacara perasmian telah disempurnakan oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong, Sultan Haji Ahmad Shah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar, pada 15hb Julai, 1982. Turut hadir pada majlis yang bermula pada jam 6.00 petang ialah YAB Perdana Menteri Malaysia ke 4, Tun Dr Mahathir Bin Mohamed. Majlis ini berlangsung dalam bulan Ramadan.

Pada 14 Julai 2007, masjid ini telah genap berusia 25 tahun dan satu siri beberapa aktiviti telah dianjurkan dengan jayanya untuk menyambut Perayaan Jubli Perak masjid ini denga kerjasama semua pihak: AJK, anak kariah, kakitangan serta para dermawan. Alhamdulillah.

Senarai . Pengerusi MSABA

November 1977 - Disember 1980

Allahyarham Tan Sri Wan Hamzah Bin Haji Wan Mohamed
November 1977 - Disember 1980

Disember 1980 - Disember 1982

Allahyarham Haji Mustafa Bin Zain
Disember 1980 - Disember 1982

January 1983 - Desimber 1987

Dato’ Haji Mohd Zain Bin Abd Rashid
January 1983 - Desimber 1987

Januari 1988 - Disember 1990

Dato’ Hisyamuddin bin Yahya
Januari 1988 - Disember 1990

Januari 1991 - April 1992

Allahyarham Tan Sri Abdul Kadir bin Yusoff
Januari 1991 - April 1992

Mei 1992 - Disember 2002

Tan Sri Datuk Seri Panglima Abdul Rashid bin Abdul Rahman
Mei 1992 - Disember 2002

Januari 2003 - Mei 2007

Haji Nik Musa bin Nik Abdullah
Januari 2003 - Mei 2007

Jun 2007 - September 2007

Haji Mukhtar bin Yaakob
Jun 2007 - September 2007

Oktober 2007 - Mei 2014

Dato’ Haji Nik Farid bin Mohd Kamil
Oktober 2007 - Mei 2014
Scroll to Top